Friday, 14 October 2011

40K Pengundi Hantu.Pemuda Pas Ada Berani.


Pemuda pas dicabar supaya mempertikai apa yang bakal didedahkan oleh SPR.SPR telah membuat yang terbaik supaya tiada pihak mempertikaikan melalui saluran yang betul.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 40,000 nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan.
“Ada maklumat yang tidak dapat dipastikan seperti terdapat kes nama pengundi di senarai daftar pemilih dan Jabatan Pendaftaran Negara berlainan dan sebagainya.
“Kita juga hendak memastikan status seseorang pengundi itu sama ada hidup ataupun tidak,” katanya selepas merasmikan taklimat  persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 kepada pegawai pengurus  dan penolong pegawai pengurus di sini hari ini.
Abdul Aziz menyifatkan sebagai kecil bilangan 40,000 nama yang tidak dapat dipastikan kesahihan maklumatnya itu dan SPR dalam proses memperbaikinya.
Mengenai persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, beliau berkata proses itu akan dibuat selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.
Ini kerana SPR memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk berbuat demikian, katanya.
Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, Abdul Aziz berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu terutama negeri-negeri yang mempunyai bilangan kerusi negeri yang angkanya genap.
“Kita hendak menukarkan DUN yang mempunyai jumlah kerusi genap kepada ganjil bagi mengelak kemungkinan berlakunya situasi kemenangan 50-50,” katanya.
Abdul Aziz berkata mengikut ramalan SPR, PRU ke-13 akan menjadi lebih mencabar berdasarkan kepada senario politik semasa.
“Parti kerajaan memerintah akan berusaha sedaya upaya pertahan kuasa mereka dan parti pembangkang pula akan berusaha sedaya upaya ambil alih pucuk  pimpinan negeri ataupun negara. Dalam dua pertembungan ini, kita ramalkan PRU ke-13 akan jalan rancak dan sengit,” katanya.
Mengenai taklimat hari ini, Abdul Aziz berkata ia bertujuan memberi penerangan awal kepada pegawai pengurus dan penolong mereka tentang tugasan  dan tanggungjawab mereka sewaktu menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.
Taklimat hari ini, yang pertama seumpamanya adalah bagi negeri Selangor. Ia   akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat.
Abdul Aziz bagaimanapun berkata taklimat itu adalah hanya untuk  melatih petugas SPR agar sentiasa berada dalam keadaan siap sedia dan tidak semestinya bermakna “PRU ke-13 terlalu hampir”.
Katanya SPR memerlukan sekurang-kurangnya 160,000 petugas untuk pilihan raya umum ke-13 nanti berbanding 150,000 pada pilihan raya umum lepas.

No comments:

Post a Comment