Saturday, 23 July 2011

Revolusi Apa Anwar Mahu Bawa ?

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Perhimpunan haram 9 Julai dianggap gagal jika faktor yang digembar-gemburkan oleh penganjur bahawa mereka boleh mengumpul 100,000 peserta diambil kira.
Oleh sebab perhimpunan itu hanya dihadiri 6,000 orang, maka pemerhati melihat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini mencari jalan baru pula dengan menyatakan bahawa Malaysia sudah dekat kepada revolusi.
Sejarah menunjukkan bahawa melalui revolusi, beberapa kerajaan tumbang, umpamnya Revolusi Iran pada 1979 yang menjatuhkan Shah Iran dan seterusnya menjadikan negara itu sebuah republik, dan revolusi di Nepal, yang menyebabkan negara itu kini hilang sistem pemerintahan beraja.
Revolusi bermakna menumbangkan kerajaan dengan kekerasan, pertumpahan darah dan penggunaan senjata, dan jika itu yang dimahukan, apa perlunya lagi tuntutan pilihan raya yang adil?
Penganalisis dan pemerhati politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata revolusi adalah sekadar satu slogan Anwar bertujuan mahu mempengaruhi persepsi rakyat untuk mengubah kerajaan dengan cepat.
“Apabila revolusi dilaksanakan ia akan mengubah sistem politik negara menuju republik. Di dalam sistem republik, ketua dan eksekutif negara adalah presiden, jadi jika seseorang itu menjadi presiden kuasanya lebih tinggi daripada hanya Perdana Menteri.
“Ini seperti yang berlaku di Nepal, Libya dan Mesir. Kita perlu berfikir apakah sistem ini sesuai untuk diterima. Kalau revolusi mental yang hebah diperkatakan sekitar tahun 1970-an supaya rakyat berubah dari segi pemikiran tidak mengapa, tetapi bukan revolusi sebegini,” kata Ahmad Atory.
Beliau berkata kemungkinan apabila revolusi berjaya dan negara bertukar menjadi republik, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi akan tergugat.
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Che Hamdan Mohd Razali, berkata Anwar tidak seharusnya meletakkan rakyat dalam keadaan resah gelisah dengan kenyataan-kenyataan sebegitu pada masa rakyat menghadapi kenaikan harga beberapa barang keperluan.
“Sepatutnya pembangkang bekerjasama membantu menyelesaikan masalah demi kepentingan rakyat terbanyak, bukannya dengan memberikan kenyataan-kenyataan yang menggelisahkan seperti ini,” katanya.
Che Hamdan berkata sejak dari awal lagi, perhimpunan haram itu dianggapnya satu tindakan politik walaupun penganjurnya menafikan pembabitan parti-parti politik bersekongkol dengan penganjurnya iaitu sebuah kumpulan haram dikenali “Bersih”.
“Saya tidak nampak apa perlunya revolusi seperti yang diperkatakan. Bolehkah dengan revolusi seperti itu memberikan keadaan lebih baik dari sekarang?
“Sekarang kita hidup aman damai, dan jika revolusi berlaku, pastinya negara akan kucar-kacir.
“Kita tak menganggap semua kerajaan sempurna tetapi bukan dengan cara ini menukar kerajaan yang ada. Platform pilihan raya sudah disediakan sesuai dengan amalan demokrasi,” katanya.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah berkata Malaysia tidak dapat menerima revolusi yang mengakibatkan pertumpahan darah, yang membawa pelbagai perubahan kepada banyak pihak termasuk kedudukan Raja-raja Melayu, hak adat istiadat, Islam, institusi Diraja dan dan institusi Parlimen.
Senator Mohamed Ezam Mohamed Noor pula berkata Anwar sudah hilang kewarasan kerana terdesak untuk berkuasa – Bernama

Read more: http://www.pisau.net/#ixzz1StnhgjKO

No comments:

Post a Comment