Friday 5 August 2011

JAIS Serbu Gereja: MB Akan Menghadap Sultan Minta Nasihat


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan mempersembahkan laporan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung tindakan mereka menyerbu masuk ke Gereja Methodist di Damansara Utama, Rabu lalu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah untuk mendapatkan nasihat daripada baginda dalam isu berkenaan.
“Sebaik menerima laporan JAIS saya akan mengadap Tuanku Sultan untuk mendapat nasihat dalam menyelesaikan isu ini serta memastikan perkara sebegini tidak akan berlaku lagi.
“Sehingga tindakan ini diambil dan isu diselesaikan, semua ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor dilarang dari membuat sebarang kenyataan berkenaan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Abdul Khalid sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri amat kesal berkata, dengan kejadian tersebut.
“Kerajaan Negeri yakin rakyat Selangor tidak rasa terbela dengan kejadian tersebut.
“Niat dan tujuan yang baik tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan dalam memimpin masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat meneruskan semangat keharmonian, hormat menghormati dan tolerasi antara agama yang telah wujud sejak sekian lama di negara ini.
Rabu lalu, penguat kuasa JAIS menyerbu gereja terbabit selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam yang ucapannya ada diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.
Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995 – mstar
Serbu Gereja: JAIS Pertahan Tindakan
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertahankan tindakannya membuat serbuan pada majlis makan malam Gereja Methodist Damansara Utama Rabu lalu.
Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, pihaknya akan mengeluarkan laporan penuh mengenai serbuan tersebut selepas siasatan terhadap 12 orang Islam yang menghadiri majlis berkenaan selesai.
“Kita akan sediakan laporan nanti selepas siasatan selesai. Siasatan terhadap 12 orang berkenaan akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.
Selain itu Marzuki berharap isu serbuan berkenaan tidak dijadikan isu kerana ia dibuat demi menjaga kepentingan umat Islam.
“Kita harap perkara ini tidak dikontroversikan, tiada sebarang tangkapan sebaliknya hanya pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai gesaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar JAIS mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung serbuan pihak berkuasa agama itu.
Abdul Khalid yang melahirkan kekesalannya berhubung insiden itu menyatakan kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara itu dan mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat pelbagai agama selain menghargai usaha meningkatkan kefahaman di antara satu sama lain.
Rabu lalu, penguat kuasa JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam yang ucapannya ada diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.
Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995 – mstar

No comments:

Post a Comment